Kawan Saya Dah Tak de…

12 08 2009
Ani dan Lily

Ani dan Lily

Lily sedih lagi… Saya tahu kesedihan saya tidaklah seberapa berbanding insan lain yang begitu terasa atas kehilangannya, suaminya, ibubapanya, anak-anaknya dan juga adik beradik yang lain.

Minggu ini saya bercuti lagi (mentang-mentang off banyak). Cuti yang tidak dirancang. Malam selasa yang lalu terima satu panggilan kecemasan. Pagi Rabu semalam terus ambil emergency leave balik kampung. Terima kasih kawan-kawan sekerja yang begitu memahami diri ini (terima kasih untuk anak cikgu Robil (Balqis Restu Maya ) sebab sudi gantikan night call lily malam ni. Juga tak lupa Pak cik Khalid dan Abang Salihin, kesian pak cik dan abang kena berkerja dua orang lagi minggu nie.. tak pen anti lepas raya adik kena kerja sorang-sorang, lagi kesian tau…)

Bukan Kehendak Kita

Tak sangka saya, bulan lepas adalah kali terakhir saya akan bertemu dengannya. Hati saya begitu mendesak dan mendesak saya untuk pergi ke pantai. Saya tak nak ke tempat lain, Port Dickson ke yang lebih dekat, tapi saya nak ke Lumut jumpa Ani. Sungguh saya tak sangka semua ini adalah petanda itu kali terakhir saya berjumpa dengan Ani.

Sahabat Selamanya

Sahabat Selamanya

Rohani Bt Abu Hassan (04.01.1987-11.08.2009) Allah lebih sayangkan kamu Ani. Sempat Ani merasa kebahagiaan rumahtangga, tapi tak sangka Cuma sekejap. Kehidupanmu sudah terlakar di Luh Mahfuz begitu Ani. Semuanya bukan kehendak kita yang masih hidup. Ani…Lily sayang sangat pada Ani. Semoga Allah tempatkan Ani bersama para solihin. Lily masih ingat lagi Ani masakkan tom yam udang untuk lily. Lily dah kenyang masa tu tapi Ani masukkan semua udang dalam mangkuk lily. Sejak kahwin Ani dah pandai masak. Lily sedih sangat bila ingat itu adalah kali terakhir lily akan makan masakan Ani. Tak dapat lupa lily pada rendang hati yang Ani masak, sedap sangat. Tak dapat lupa sewaktu lily bermain perut Ani yang sarat tu, merasa gerakan baby dalam perut tu Ani cakap pada lily… “Lily kalau aku meninggal macam mana ye?”… Ani lily tak sangka Ani dah merasa tandanya ketika itu. Bagai semalam kita baru jumpa, tak sangka hari ini Ani dah tak de… Ya Allah ampunkan dosa sahabatku yang sangat baik ini. Ani tak sangka lily gurauan kita bersama bulan lalu adalah kali terakhir. Ani tak sempat tengok Lily kahwinkan? Semoga doa Ani pada lily bulan lepas Allah makbulkan “ Lily aku doakan jodoh kau dengan dia…terima orang yang sayang kita tau”… Ani dah tak de… Ani macam kakak lily…Lily sayang sangat pada Ani.

Kawan tanpa syarat.

Ani merupakan kawan saya dari kecil lagi. Kami membesar bersama, nakal sama-sama, masa sekolah tadika kami suka main pondik-pondok. Ingat lagi saya adalah seorang yang cenggeng (cepat nangis) masa kecil. Ani ibarat defender saya. “Ooo korang ejek dia ye, korang ingat korang tu bagus sangat ke!” marah Ani pada budak-budak lelaki yang mengejek saya. Masih ingat lagi kami pecahkan telur tembelang dekat rumah Mak cik Milah. Ingat lagi terasa Ani dengan saya ketika ada kenduri perkahwinan Abang “ Lily…ko tak nak kawan aku ye bila sepupu datang. Takpe aku ingat lily”…. Hehehe kelakar sangat bila ingat masa kecik-kecik dulu. Ani suka pakai seluar pendek paras lutut. Mesti kami waktu tu comel… Sampai kami berusia 12 tahun, kami selalu bermain. Segala permainan budak-budak kampung kami main, galah panjang, zero point, jengket-jengket. Paling tak dapat lupa bila kena marah dengan arwah Pak cik sahak sebab nak main api nak goreng telur dan bakar ubi. Macam-macam perangai kami waktu tu. Belum lagi bila musim buah. Panjat pokok, siap buat ran atas pokok sebab senang nak makan buah manggis. Main pondok-pondok dalam reban ayam….ish macam-macam permainan kami waktu tu. Bila ada orang buat kenduri kawin, sibuk kami mintak inai dari mak cik-mak cik sebab nak pakai inai, lepas tu bila dah berinai main kawin-kawin pulak. Kelakar sangat. Ingat lagi masa umur sepuluh tahun kami berdua dapat basikal dari parents masing-masing. Kami pergi sekolah sama-sama, balik dari sekolah agama terus keliling kampung. Seronok sangat zaman budak-budak dulu. Kegemaran saya dengan arwah Ani sama. Kuat makan asam. Makan jeruk kelubi dengan garam dan ‘mencolek ‘ buah pauh (sejenis mangga) dengan sambal kicap gula, letak cili, belacan dan asam jawa. Sampai kami besar, pantang jumpa kalau kena masa tu musim buah pauh, ‘mencolek’ lah aktiviti kami.  Tak sangka arwah pergi dulu dari kedua ibu bapanya.

Perkahwinan Ani dan Abg Firus

Perkahwinan Ani dan Abg Firus

Saat Pernikahan Ani

Saat Pernikahan Ani

Ani berkahwin awal. Ani bersekolah sampai tingkatan 4. Waktu itu saya sangat sedih, kanapa Ani tak pentingkan cita-cita. Tapi kesedihan saya cuma dalam hati sahaja tak pernah saya luahkannya. Pasti ada hikmahnya. Ani berkahwin dengan Abang Firus atas pilihan orang tua. Saya ingat lagi saya bertanya padanya “ko yakin ke dah nak kahwin Ani?”  jawab Ani “Separuh-separuh”. Saya tanya lagi “Ko cinta ke pada bakal suami ko nie?” Jawab Ani “Entahlah Lily”. Sebagai seorang sahabat saya hanya mendokan yang terbaik. Alhamdulillah cinta Ani pada Abg.Firus muncul setelah berkahwin. Abg.Firus sangat baik pada Ani dan sangat kasih pada Ani. Ani kata syukur sangat dia berkahwin dengan Firus. Beza umur Ani dengan Abg.Firus 14 tahun. Bila saya jumpa Ani bila balik kampung atau ke rumah Ani di lumut, saya belajar untuk merendahkan status dan merendah diri. Kalau nak ikutkan status pendidikan, apalah sangat yang ada pada Ani. Tapi siapapun dia atau siapapun saya, kami adalah sahabat baik. Berkawan tanpa syarat, itu yang saya belajar dalam persahabatan saya bersama Ani. Terimalah seseorang seadanya. Ani bukan sesiapa tapi dia adalah manusia. Naluri yang bernama MANUSIA itu tetap sama, tak kira apapun statusnya dalam masyarakat. Tak kiralah dia seorang doctor, tukang cuci ataupun suri rumah, hakikatnya kita adalah manusia dan hamba Allah. Nilaian Allah pada hambanya yang bernama manusia adalah iman dan taqwa. Wahai Lily berkawanlah dengan seseorang itu tanpa syarat…

Anak Angkat

Saya mangharapkan nasib anak-anaknya terbela. Atas pemergian Ani, Abg.Firus telah kehilangan sebuah keluarga yang bahagia. Bagaimanalah Abg.Firus ingin memulakan kehidupan tanpa seorang isteri di sisi. Bila balik rumah, sunyi sepi. Mengikut keinginan Arwah Ani, dia ingin bayinya yang baru lahir 1 Ogos lalu di jaga dan di asuh oleh kakaknya yang telah berumahtangga selama 4 tahun tapi masih belum dikurniakan cahaya mata. Semuanya ada hikmahnya. Manakala anaknya yang sulung yang berusia 5 tahun dijaga di kampung oleh opah dan tok wannya. Tak apelah kedua-dua beradik ini secara tidak langsung juga anak kepada saya. Saya berjanji pada diri saya, saya akan menyayangi anak-anak Ani sebagai tanda persahabatan dan kasihnya saya padanya. Anak-anaknya adalah anak saya, juga sebagai mengikut sunnah Rasulullah supaya belas dan kasih pada anak yatim. Walaupun Ani dah tak ada, saya berjanji akan sentiasa menjenguk kedua ibubapa Ani setiap kali balik kampung, sekaligus menjenguk Alesya yang akan tinggal di kampung bersama opahnya. Alesya Balqis dan Hani Nurdayana, umi berjanji akan menyayangi kamu berdua sebagai tanda persahabatan umi dan arwah ibu yang takkan terputus sampai bila-bila. Semoga kalian berdua menbesar sebagai anak yang solehah untuk abah dan arwah ibu.

Alesya Balqis dan Cik li di Teluk Batik

Alesya Balqis dan Cik li di Teluk Batik

Alesya Balqis

Arwah Ani cakap, perangai Alesya macam saya, tarikh lahir kami pun dekat-dekat. Saya lahir pada 20.11.1987, Alesya lahir pada 19.11.2004. Kami berdua suka main air. Hehehehe… ingat lagi main kejar-kejar dengan Alesya kat tepi pantai dulu. Saya selalu dengar Ani cakap pada Alesya belajar pandai-pandai macam cik lily. Mungkin arwah juga sayang pada saya juga.

Hani Nur dayana

Hani lahir pada 1 Ogos 2009. Arwah Ani tak sempat pun mendukung apatah menyusukan bayi kecil ini. Selepas bersalin, arwah mengalami komplikasi paru-puru dan terus di tahan di ICU selama 11 hari hingga arwah menghembuskan nafas terakhir lebih kurang pukul 9.30 malam 11.08.2009. Kasihan Hani. Namanya adalah nama arwah. Bayi kecil yang mulus ini arwah tinggalkan sebagai kenangan buat kami. Menyebut namanya akan mengenangkan kami pada arwah.

Menginsafkan

Beberapa peristiwa yang berlaku pada saya dalam beberapa minggu ini sangat menginsafkan. Minggu lepas soal jodoh. Minggu ini soal mati. Minggu-minggu yang akan datang masih tidak kita ketahui. Soal jodoh, rezeki, ajal dan maut serta ujian adalah sesuatu yang berada diluar kawalan kita. Jodoh perkara yang kita tidak tahu, bercinta dengan orang lain, boleh jadi menikah dengan orang lain. Ajal dan maut bukan kita tahu bila kita akan mati, buah kelapa muda boleh jatuh, inikan pula manusia. Yang penting sebagai seorang manusia dan hamba Allah kita harus bersedia. Rezeki dan ujian pun kita tidak tahu apakah takdirnya buat kita. Kita hanya merancang apa yang kita inginkan, tapi akhirnya kita tidak tahu apa yang akan jadi. Bila menelusuri kehidupan Ani, menginsafkan saya. Jodohnya dengan Abg Firus, datang bukan atas kehendak Arwah Ani, bukan kehendaknya akan berumah tangga pada usia semuda 17 tahun. Kematiannya tak disangka-sangka. Usianya masih muda, 22 tahun, tapi telah terlakar bahawa kehidupanmu begitu Ani. Sempat juga Ani merasa kebahagiaan rumahtangga dan mempunyai cahaya mata yang comel-comel. Tapi lily terkilan Ani tak sempat tengok Lily kahwin….Semoga doa Ani pada lily dimakbulkan Allah. Semoga Ani diampunkan segala dosanya dan dirahmati Allah. Ani kita telah terpisah oleh hijab barzakh penghubung ke alam akhirat. Semoga persahabatan kita kekal untuk selamanya. Lily berjanji akan sayang pada anak-anak Ani. Lily sayang Ani…





Relaks…

3 08 2009

Assalamualaikum….

Sudah lama Lily tak menjengah ke blog ini. Hampir berhabuk dengan sawang-sawang. Selama sebulan lebih tak update, macam-macam perkara berlaku dalam hidup Lily. Bulan lepas berkesempatan bertemu sahabat lama dan baik di Lumut. Masa pergi sana menziarahi dia, kandungan kawan Lily berusia 33 minggu, alhamdulillah, 1 ogos yang lalu, Ani telah selamat melahirkan bayi perempuan, berat 3.00 kg. Comel, tapi malangnya Ani dimasukkan ke ICU selepas melahirkan kerana jangkitan bakteria pada paru-paru dan baby Ani pun sama di NICU sebab demam. Harap sahabat dapat sama-sama mendoakan Ani dan baby nya sihat semula.

Supected H1N1 (Selsema Babi)

Minggu lepas, Lily demam dan selsema. Alhamdulillah dah sihat selepas mendapatkan rawatan. Kemudian saya mengambil keputusan untuk bercuti sepanjang minggu ini. Alhamdulillah, bos benarkan. Seronak sangat selepas lama mata ini tak memandang mak dan bapak tersayang. Hampir 6 minggu. Tetapi petang semalam mood jadi tak baik sebab salah seorang kawan sekerja saya telefon beritahu yang saya adalah suspek mangsa H1N1. Rupa-rupanya ada seorang rakan sekerja saya positif saringan H1N1. MasyaAllah. Saya hanya berserah pada Allah, sebab selsema saya dah baik sebelum balik kampung. Harap2 saya hanya suspek bukan mangsa…

Dugaan

Hari ini saya diuji lagi. Bagaimana perasaan bila kita terpaksa buat pilihan yang mana, jika saya buat analogi, kita ada dua barang yang kedua-dua ada keistimewaan dan kekurangan tersendiri? Tapi kita kena pilih salah satu, mana yang kita nak. Mungkin kalau barang kita boleh beli dua-dua. Tapi masalahnya sekarang pilihan itu bukan barang, tapi orang. Huh! Susah pilihan seperti ini sebenarnya. Memilih seseorang untuk menjadi sahabat baik sehidup semati, berjuang di atas perjuangan yang sama, berkongsi segalanya dan mencari teman bercinta sampai syurga bukanlah semudah memilih kasut dekat Vincci, ELLE atau Jusco. Ya Allah berikanlah hambaMu ini petunjuk. Jawapan yang akan diberikan bukan semudah menberikan kata YA atau TIDAK, Setuju atau Tidak Setuju seperti proses khitbah yang pernah berlaku sebelum ini….tetapi kali ini adalah pilihan DIA atau DIA….. Kadang-kadang kena merasakan bahawa memilih DIA atau DIA itu seperti memperjudikan nasib diri sendiri. Ya Allah, bantulah hambaMu yang lemah ini. Saya hanya meletakkan segalanya pada Allah. Surah Al-Baqarah ayat 216 yang bermaksud “…boleh jadi kamu tidak suka sesuatu, padahal itu baik bagi kamu, boleh jadi kamu suka sesuatu, padahal hal itu tidak baik bagiMu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui”





Bangkitlah Wahai Jiwa Yang Tidur…

13 07 2009

Bunyi bagai mahu diruntuhkan tujuh petala langit,

Dan dimusnahkantujuh petala bumi,

bom sana, bom sini….saudaraku tak kesempatan lari,

apatah lagi si kecil bingung melihat ayah dan ibu terkujur mati,

“ibu, bangun ibu….ayah , kenapa ayah?”

Lalu mengalir air mata ini…

Al-Quds merintih hiba,

Kekejaman tangan-tangan kuffar bangsat laknatullah!!!!!

perasan tuhan, mencabut nyawa yang tak berdosa,

Bertambah pilu hati…

Tiada siapa yang sanggup menjadi saksi kekejaman ini,

yang mampu dilakukan dengan mengatakan OIC…

 

Wahai jiwa yang tidur bangkitlah…bangun!

Sedarlah dari lamunan dan igauan disiang hari

Akibat kekenyangan nafsu diri,

dan maksiat yang melingkari,

Apakah mata hatimu telah tertutup?

atau pekak menjadi tuli,

Umat islam diganasi…

Siang dan Malam tak henti-henti

 

Wahai jiwa yang tidur bangkitlah..bangun!

Kukuhkan saf persaudaraan kita,

kukuhkan aqidah kita ,

seperti Jabal Rahmah yang sentiasa memancarkan

Nurilahi…. agar tertegaknya kalimah

LAILLAHAILLALLAH…..

Yang akan menyatukan hati kita, yang akan menyatukan hati kita…

Yang akan menyatukan hati kita………….

Sajak ini Lily tulis dan seyembarakan pada Julai 2006…

(membaca kembali untuk ingatkan diri lily bahawa lily sedang diuji Allah dengan kesenangan. Huh… semoga Lily tidak goyah. Masih ada tanggungjawab besar yang perlu lily laksanakan semaksimum mungkin sebelum melangkah ke alam baru. Kekangan masa ketika itu pasti menjadi musuh…. Ya Allah bantulah hambamu yang lemah ini.)





Sedih dalam Gembira

20 06 2009

Hari ini saya diuji lagi. Tapi saya bersyukur. Saya sudah lama tidak merasa diri saya diuji Allah sejak kebelakangan ini. Mungkin ada tapi saya tidak perasan agaknya. Baru saya ingat ujian perasaan, yup, diuji perasaan. Tapi saya rasa itu kurang sikit sebab berbentuk dalam hati, cuma kita jangan terlalu fikirkan tentang perasaan itu. Tapi apa yang berlaku pada saya dua jam yang lalu melibat diri saya dan orang lain.

Saya kemalangan. Itulah yang berlaku tadi. Alhamdulillah saya tiada apa-apa kecederaan. Pagi tadi lebih kurang jam 10.15 pagi, saya memandu kereta ditemani adik saya Nurul Huda ingin pergi ke Bandar Tun Razak (BTR adalah pekan kecil di kampung saya bukan di KL) untuk beli pendrive sebab pendrive saya baru hilang 2 hari lepas  . Sebenarnya saya baru dapat lesen sebulan yang lalu. Nak dijadikan cerita, ketika saya ingin membelok ke arah jalan masuk ke BTR, kereta saya dihentam oleh sebuah motorsikal. Nasib saya agak baik, penunggang motosikal tersebut tiada apa-apa kecederaan, cuma luka sedikit dikepala dan tiada apa2 yang patah riuk. Tapi agak menggerunkan saya.Menurut perkiraan saya kemungkinan besar penunggang terbabit, kecederaan di kepala cuma diluar dan tiada gegaran otak sebab penunggang tersebut boleh bangun selepas kemalangan. Motorsikal dia agak teruk dan kereta saya juga agak teruk. Bumper dan bonet hadapan kemek serta lampu sebelah kiri pecah. (Abang Fauzi, maafkan lily ye….. Semua perkara ini diluar kuasa lily, semua telah ditentukan Allah) Saya yakin ketika memandu tadi saya sudah cukup berhati-hati.

Saya tidak tahu apa yang ingin saya lakukan sekarang. Mungkin kemalangan ini kecil. Tapi pengajaran amat besar dalam hidup saya. Mak saya cakap, ayah saya cukup risau bila ada kawan ayah bagitahu saya kemalangan, dia amat kelam kabut. Tapi saya tak ada apa-apa sebenarnya. Saya tahu ayah saya amat sayang pada saya dari kerisauannya. I love u so much dad. Saya amat takut dimarahi ayah. Berdebar saya waktu tunggu ayah saya datang ke tempat kejadian, sebab ayah saya seorang yang agak panas baran. Tapi bila datang tadi dia cuma cakap “macamana boleh jadi macam ini”. Huh nasib baik.Tapi apa yang bakal saya terima dari ayah dan abang fauzi saya tidak tahu. Mungkin saya tidak dibenarkan membawa kereta  lagi dan saya tidak dibenarkan pinjam kereta abang fauzi bila saya di kampung. Sedihnya….

Pertama kali saya ke balai polis. Seperti orang yang bersalah, saya buat report. Erm, saya tak salah sebenarnya. Lepas itu apa yang saya risau adalah Lesen P saya bakal digantung. Harapan saya semoga perkara itu tidak terjadi pada diri saya. Saya serahkan segalanya pada Allah. Baru sebentar tadi seorang polis dari bahagian trafik Muadzam Shah, telefon saya. Dia sarankan saya dan ayah supaya selesaikan kes ini diluar dan laporan polis yang saya buat akan ditarik balik. Semuanya untuk selamatkan Lesen P saya. Alhamdulillah. Sekurang-kurangnya saya ada penyelesaian lain.

Saya masih ‘traumatized’. Saya harap saya tidak takut nak memandu lagi. Saya amat syukur pada Allah. Pengalaman hari ini banyak menyedarkan dan mengajar diri seorang yang bernama Lily Rizana. Saya sedar tanggungjawab. Mestila, selepas ini saya kena tolong Abang Fauzi untuk baiki kereta dia yang rosak tu. Tak apala saya korbankan sedikit gaji saya bulan ini. (Tapi adakah saya tidak akan pergi Lumut bulan hadapan? Saya harap tidak, kerana saya amat rindukan kawan baik saya Ani dan anaknya). Saya sedar yang ayah saya sangat sayangkan saya walaupun anak dia yang seorang ini sangat degil dan keras kepala yang teramat sangat. (hehehe) Saya rasa ini pengajaran buat saya supaya tidak merendahkan orang lain. Selepas dapat lesen saya selalu ejek adik saya Muhammad Hakim yang saya lagi terror bawa kereta dari dia sebab lepas ujian JPJ, sedangkan adik saya cuma ada lesen agung sahaja. Itulah akibatnya. Saya kena minta maaf pada adik kot mungkin dia tidak puas hati. Saya syukur, Allah mengingati diri saya insan yang tiada nilai apa-apa sebagai manusia yang sangat kerdil dengan ujiannya kali ini.

SEDIH kerana saya kemalangan dan menyusahkan orang lain, tapi saya GEMBIRA dengan ujian ini, satu tarbiyyah dari Allah. Ujian dan kecelakaan akan menguatkan kita mengimani Qada dan Qadarnya. Syukur padaMu.

LilyRizana

1.30tengahari

Kedai Celik Komputer (Kedai Abang Fauzi)





Rindu

15 06 2009
Pantai yang indah

Pantai yang indah

Sebenarnya, saya sangat rindu untuk ke sana. Rindu sangat. Apa yang saya rindu tu ? Saya rindu  LAUT. Dah 2 tahun mata saya nie tak menikmati permandangan indah ciptaan tuhan bernama LAUT dan PANTAI.

Saya rindu dengan pasirnya, rindu dengan batunya, rindu dengan bau laut, rindu dengan matahari terbenam. Ahhh, saya rindu nak ke sana! Saya rindu dengan bau laut. Mesti pelikkan. Saya memang pelik, tapi adakah pelik kalau kita jumpa wangian untuk rumah, kereta, almari atau sebagainya berperisa (betul ke perkataan ni) OCEAN, BEACH atau sebagainya. Jadi mesti saya tak pelik. Saya rindu ingin ke sana. Hati saya meronta-ronta. Tapi apakan daya tak ada masa lagi. Semoga Allah mengizinkan saya untuk ke sana tahun ini. Ya Allah jadikanlah hambamu ini kuat untuk menjadi anak kota batu ini. Sudah menjadi fitrah makhluk ciptaan Allah, pasti sukakan sesuatu yang indah dan menenangkan jiwa. Bagi saya laut itu indah.

Kali Terakhir

Kali pertama saya ke sana ketika usia saya 5 tahun. Saya masih ingat waktu itu bapa saya bawa kami sekeluarga ke Teluk Chempedak Kuantan untuk menyambut Hari lahir Lily Rizana yang ke-5 tahun. Memori saya masih kuat rupanya. Syukur. Saya dapat hadiah tabung yang dibuat dari tempurung kelapa. Cantik dan kreatif. Hehehe. Murah aje hadiah tu kan? Tapi pasti ada nilai didikan yang ibu bapa ingin berikan dengan menghadiahkan tabung tersebut. Tabung saya itu akhirnya hilang apabila ianya dicuri oleh pencuri dengan duit-duitnya sekali. Hahahahaha…

Kali terakhir saya menjejakkan kaki ke laut dua tahun yang lalu. Disember 2006 saya ke rumah kawan baik saya di Kem TLDM Lumut Perak. Kawan baik saya ni berumahtangga awal, selepas SPM. Suami dia ni navy, waktu mengahwini kawan saya ni usianya 31 tahun. Mungkin sudah jodoh mereka. Sekarang mereka suami isteri sedang menanti kelahiran anak yang ke dua. Hurm… rindu sangat dengan kawan saya ini. Waktu saya berkunjung ke sana layanan mereka berdua sangat baik. Ke mana saya nak pergi mereka bawak. Sempat la kami berkelah sama sambil ‘mencolek’ mempelam tepi pantai… wah, perkara yang saya dan kawan baik saya ini selalu lakukan masa kecil dulu, tapi kami berkelah maggi bawah pokok ciku selepas penat main galah panjang, ’rounders’ atau ‘Zero point’. Itulah zaman kanak-kanak saya. Saya juga sempat ke Teluk Batik dan membeli banyak key chain untuk kawan-kawan kat hostel. Erm rindu sangat nak datang ke sana lagi. Saya rindu laut. Bulan lepas ada jugak merancang nak ke laut, tapi tak jadi, jadualku pack. Erm…saya rasa memang kena pergi, hati dah meronta-ronta. Apakan daya, Allah tidak mengizinkan lagi. Banyak halangan.

Safwah

Safwah di Pulau Manukan Sabah (Safwah adalah anak Kak Izzah)

Bila rindu saya pada laut datang, saya teringat satu Hadis Rasulullah.

“Umat islam diakhir zaman akan dikerumuni seperti hidangan”, Para sahabat bertanya, “Adakah mereka sikit jumlahnya ketika itu Rasulullah?’ Jawab Nabi S.A.W “Tidak. Jumlah mereka sangat ramai, tetapi ibarat buih di tepi pantai ynag mudah pecah apabila dipukul ombak”. Tanya sahabat lagi ” Mengapa merka begitu?’. Jawab Rasulullah ” Kerna dalam hati mereka ada ‘Wahan’ “. Tanya sahabat lagi ” Apakah itu ‘Wahan’?”. Jawab Nabi ” Wahan itu penyakit hati yang cintakan dunia takutkan mati'”

Cinta Dunia Takut Mati

Saya kematian point untuk terus menulis. Monolog saya pada diri…

Ya Allah, adakah wahan itu ada pada diriku?

Ya Allah andai ‘kakiku’ ini terikat pada kesibukan dunia yang tidak berkesudahan hingga aku lalai untuk menjalankan kewajiban yang telah Eangkau amanahkan itulah wahan pada diriku. Aku memohon agar Engkau tidak lelapkan aku dengan lena yang panjang…

Amin

lilyRizana

Selayang Prima (1.22pagi)

Semoga aku dapat ke sana





Sehari yang Berbaloi

13 06 2009

Jam menunjukan pukul 9.28 malam. Beberapa jam lagi akan bertukar tarikh. Esok oncall lagi. Segalanya saya syukuri. Bukan mudah nak rasa nikmat kesibukan dan keletihan. Dah lama tak rasa begini. Masa masih pelajar dulu adalah. Sekali-sekala begini, rasa seronok juga. Latihan, masa-masa akan datang saya pasti lagi sibuk dari hari ini yang saya lalui. Baru tersedar, hari ini saya tidak makan apa-apa. Kalau mak tahu mesti risau. Saya terlupa. Makanan terakhir saya jam 4 pagi semalam, iaitu Maggi. Saya sangat jarang makan makanan tersebut kerana banyak sangat MSG.  Petang tadi saya ada usrah. Alhamdulillah. Sudah hampir 2 minggu tiada (usrah minggu lepas dibatalkan). Saya sangat rindu pada sahabat-sahabat usrah saya, bersama bayi-bayi mereka yang comel dan sering conteng buku saya. (wahai sofwah,  sorfina dan madihah, cik li teringat kamu yang sangat bijak dan comel itu, semoga besar nanti kamu berdua menjadi mujahidah solehah). Usrah (halaqah) dengan saya ibarat lagu dan irama. Sering saya bermonolog pada diri, “aku tanpa usrah ibarat layang-layang terputus talinya”. Memang saya tidak boleh hidup tanpanya. Semoga Allah mengekalkan saya dalam bi’ah solehah ini.

Amanat

Meruntun hati apabila musyrifah saya memberi pesan selesai halaqah kami.

“Kewajiban dakwah itu tertaklif pada lelaki dan wanita. ‘Hendaklah ada segolongan umat yang menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran’ perkataan segolongan itu merujuk pada lelaki tidak terkecuali wanita. Ibu yang ada anak jangan menjadikan anak sebagai alasan tidak melakukan dakwah. ‘sampaikan walaupun dengan satu ayat’. Anak-anak memang menjadi tugas wanita sebagai ummun wa rabbatul bayt (ibu dan pengurus rumah tangga). Seandainya para suami tidak mengizinkan, ingatlah ketaatan seorang isteri itu yang pertama kepada Allah, kemudian suami. Jangan sampai menderhaka pulak,tapi bukan ke ketaatan seorang isteri kepada suaminya selagi suami itu taat pada perintah Allah. Dakwah adalah perintah Allah. Jika dia tidak bagi, dia menderhaka pada Allah. Sampaikan pada suami masing-masing jika dia enggan benarkan kamu keluar berdakwah. Walau sesibuk mana kita sebagai seorang isteri, ibu dan pekerja jika berkerja, jangan  kesampingan kewajiban berdakwah.”

Begitu la pesan musyrifah pada kami bertiga. Walaupun saya seorang sahaja yang masih bujang trang tang tang, tapi saya terima pesanan itu sebagai satu persediaan di masa akan datang. Ya Allah semoga hambamu ini sentiasa dalam pemeliharaanMu. Saya memohon pada Allah agar kenikmatan bujang ini saya gunakan sebaik-baiknya untuk islam dan saya mengerti apa itu medan berjuang. Bila berumahtangga pasti cabarannya lebih getir dan pasti lebih sibuk dari apa yang saya lalui ketika ini.

Mengapa Perlu DAKWAH.

Satu motto ketika menghadiri satu seminar setahun yang lalu. “Ikhwah dan Akhwat, dakwah tidak perlukan kita, tapi kita perlukan dakwah” laung seorang speaker menaikkan semangat kami.

Pulang dari usrah saya menaiki KOMUTER untuk pulang ke rumah. Dalam keretapi sungguh sesak. Biasalah hari sabtu, warga kota pasti keluar bejalan-jalan. Merehatkan minda katakan. Telinga saya sungguh kuat menangkap perbualan satu keluarga yang baru masuk menaiki keretapi dari stesen KL Sentral. “Wah magik nya mama. Keluar je dah malam. Tadi rasa siang lagi masa masuk KL Sentral. Penatnya berjalan, sehari suntuk, keluar je dah maghrib” kata si adik. “Erm, tadi asar pun tinggal, maghrib pun tinggal jugak hehehehe” kata si kakak. “Nak buat macam mana, tak sedar” kata mamanya. Tidak terkata apa-apa saya mandengarnya. Begitu mudah jawapan ‘tak sedar’. Benarlah ada pepatah yang sebut, perkara paling ringan di dunia adalah meninggalkan solat. Ini cuma satu dari pemerhatian saya. Apa lagi yang harus saya katakan. Tidak terkata apa-apa. Tak mungkin saya mahu menyerang wanita tadi dan mengingatkan tentang hukum meninggalkan solat.

Masalah Umat Sekarang

Masalah umat sekarang bukan tidak tahu hukum. Tapi masalahnya adalah PEMIKIRAN yang malas berfikir dan akhirnya tiada TUJUAN HIDUP. Ramai muslim sekarang ini hanya menerima islam secara warisan dari datuk nenek kita dahulu, bukan menerima islam melalui cara berfikir untuk menambahkan keimanan kepada Allah dan  mempelajari hukum serta sistem kehidupan islam, seluruh hidupnya diatur dengan islam. Islam adalah satu agama yamg diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w yang mengatur hubungan manusia dengan Pencipta (Allah), mengatur hubungan manusia dengan dirinya sendiri dan mengatur hubungan manusia dengan manusia yang lain.

Hubungan dengan Allah diatur melalui ibadah seperti solat, puasa, haji, zakat. Manakala hubungan dengan diri sendiri diatur melalui hukum berpakaian, hukum untuk makan dan banyak lagi, manakala islam mengatur hubungan manusia dengan manusia yang lain melalui sistem hidup yang unik seperti sistem ekonomi, sistem sosial, sistem poiliti dan sistem uqubat. Begitu cantik dan indah islam itu andai kita mempelajarinya. Jadi amat penting saya dan sahabat yang tahu tentang islam untuk mendakwahkan islam kepada orang yang jahil seperti satu contoh yang saya temui tadi. Dan yang paling penting untuk sahabat tahu mengapa umat islam masa kini dibelenggu dengan pelbagai masalah seperti murtad, gejala sosial yang melampau, kecurian, rompak dan ragut yang berleluasa, belum kira lagi dengan kes bunuh yang dilaporkan setiap hari, adalah disebabkan ketiadaan negara yang menerapkan hukum dan sistem islam (Malaysia bukan negara islam). Islam adalah rahmat untuk kesekelian alam.  Yang rosak sekarang ini adalah sistem hidup yang tidak islamik. Jadi tanggungjawab kita yang tahu sangat besar untuk menyampaikan kepada yang jahil agar satu hari nanti islam akan menjadi opini umum dan khilafah akan bangkit bersama kebangkitan pemikiran umat terhadap islam. Jadi sangat penting untuk saya mendakwahkan islam kerana yang pertama  kewajiban  dan kedua supaya umat islam menjadi umat yang kembali berfikir.

Sedih.

Saya merasa sedih dengan anak itu tadi. Tapi apa harus saya lakukan, dia bukan anak saya. Itulah realiti masyarakat sekarang. Saya teringat kata-kata Umar Al-Khattab r.a, kata Umar

“Khilafah ibarat simpulan tali. Kejatuhan Khilafah ibarat terlerainya ikatan yang terbesar dan ikatan terakhir yang terlerai adalah solat”

Fikirkanlah…

Saya teringat satu hadis. Ketika itu nabi dan para sahabat melalui perkuburan Baqi. Nabi berkata pada para sahabat “Aku terlalu rindukan saudara ku” kata nabi, sahabat pun betanya, “siapakah saudaramu itu wahai Rasulullah? adakah kami?”, “tidak, kamu semua adalah sahabat ku” jawab nabi, “Jadi siapakah saudaramu itu?”  tanya sahabat lagi, lalu nabi menjawab “Saudaraku adalah umatku diakhir zaman yang memperjuangkan islam” (maaf saya hanya menulis berdasarkan apa yang saya ingat tentang hadis ini, mungkin ada yang saya lupa. maafkan saya.)

Saya sangat terkesan bila teringat hadis tersebut. Rasulullah telah merindukan umatnya diakhir zaman. Saya bertanya kembali pada diri ini, adakah saya mencintai Rasulullah???

Sehari yang berbaloi. Kembara mengajar saya mengenal manusia. Sesungguhnya saya syukuri nikmat islam ini.

Amin…

LilyRizana

13/06/2009

11.16mlm





Suka Lagu Ini.

12 06 2009

Bilakan Damai

Hafiz Hamidun

Mentari menangis di senja memerah
Bumi anbia menjadi padang jarak
Puing-puing runtuhan berserakan
Asap senjata dan hanyir darah menyesak dada

Tubuh-tubuh layu gugur bergelimpangan
Bertindih dalam kubur tanpa bernisan
Di hujung sana berjuta yang kelaparan
Di dera wabak yang menyiksakan

Anak kecil bertanya bimbang
Wajahnya mencerminkan kedukaan
Mengapa lena ibu terlalu panjang?
Bilakah pula ayah akan pulang?

Dia yang tak mengerti apa
Menjadi mangsa pembantaian
Suara tangis menjadi syair sendu
Menyayat dan menyiat perasaan

Bilakan berhenti kekejaman?
Bilakan terhapus penindasan?
Kemana hilangnya kemanusiaan?
Bilakan damai akan menjelang?

Entah bila akan pulih keharmonian?
Sampai bila bersilih penderitaan?
Bila pula akan muncul ketenangan?
Soalan yang masih tiada jawapan

Tak sempat nak link dengan YouTube.

sori…

LilyRizana